Tuesday, 17 May 2011

Tanda Akhir Zaman

Khutbah 13may di Masjid Proton

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah Ali 'Imran :
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih
Masa berlalu semakin cepat dan pantas sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat. Semakin hampir kita dengan saat kehancuran dunia maka semakin banyak cubaan dan fitnah terhadap keimanan dan agama kita. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan yang begitu banyak kepada kita agar tidak terheret dan ditenggelamkan oleh fitnah akhir zaman dengan berpegang kemas kepada al-Quran dan sunnah nabi. Akibat fitnah yang begitu dahsyat terhadap keimanan sehingga digambar oleh nabi bagaimana ada orang yang beriman pada pagi harinya tetapi kufur pada petangnya, ada yang pada petangnya beriman tetapi menjadi kufur pada pagi keesokannya akibat daripada menjual agama dengan harga yang terlalu murah. Dunia menjadi matlamat hidup sehingga akhirat dipinggirkan, nafsu menjadi pedoman sehingga wahyu Allah diketepikan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta. Apa yang lebih malang apabila hukum agama dipermainkan sesuka hati termasuk dalam sumpah laknat jika sebelum ini dalam tuduhan liwat, kini dalam tuduhan zina. Budaya suka bersumpah laknat dibiarkan berlaku sedangkan dalam perundangan Islam jelas masalah ini mesti diselesaikan di mahkamah sama ada yang dituduh jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hudud atau yang menuduh boleh dikenakan hukum Qazaf jika berdusta. Jika budaya sumpah laknat dibiarkan berleluasa akhirnya menyebabkan hilangnya fungsi mahkamah kerana semua masalah akan diselesaikan melalui sumpah sahaja. Apa yang lebih menakutkan apabila perbuatan ini akan menyebabkan turun laknat yang begitu dahsyat daripada Allah.
قال الرسول e : الْكَبَائِرِ: الِإشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ و قَتْلُ النَّفْسِ وَالْيَمِينُ الْغَمُوس
Maksudnya: "Dosa besar itu adalah, syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa, membunuh dan sumpah yang dusta."
Ibn Hajar Al-'Asqalani menghuraikan sumpah daripada pendusta merupakan salah satu daripada dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama' besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik
Penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan melampau juga membawa kehancuran kepada masyarakat seperti isu seks yang dibicara secara terbuka bukan sahaja menjatuhkan maruah sebelum dibicara malah merosakkan minda terutama remaja yang ingin tahu dan mencuba benda yang negatif. Oleh itu mimbar Jumaat hari ini mengutuk tindakan tidak bermoral dan melanggar batas agama yang dilakukan oleh pengamal media yang tidak amanah ini. Jika pada zaman nabi tugas jahat ini dimainkan oleh penyair-penyair maka pada hari ini ia diteruskan oleh wartawan yang tidak beretika kerana menurut perintah orang atasan yang mementingkan harta dan takhta.
Begitu juga dengan tiupan api perkauman sempit bagi menggambarkan suasana keamanan negara yang semakin tergugat sedangkan yang tergugat oleh pangkat golongan yang menindas rakyat. Amaran Allah akan berlakunya penindasan bila kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpin dan kroni sahaja tidak dipeduli sedangkan setiap kali harga barang naik dengan alasan menjimatkan subsidi negara diterima dengan dada yang lapang sedangkan betapa banyak kekayaan negara hancur akibat rasuah, pecah amanah dan pembaziran. Betapa malangnya apabila amaran nabi agar tidak memilih pemimpin yang tidak berkelayakan seperti zalim dan tidak amanah akan menyebabkan berlakunya huru hara tidak dihirau sedangkan alasan lapuk seperti kenaikan harga gula bagi mendidik rakyat supaya tidak terlalu banyak menggunakan gula bagi menjamin kesihatan boleh diterima bulat-bulat. Jahiliah hanya akan berterusan apabila kejahilan rakyat disuburkan tetapi bila rakyat semakin berilmu serta bijak berfikir maka jahiliah yang zalim semakin lemah dan bakal menyembam tanah bila-bila masa sahaja. Kita akan dirikan keadilan dan kehebatan Islam di atas runtuhan jahiliah tersebut
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita juga merasa kecewa bila isu agama seperti isu Kristian mahu dijadikan agama rasmi negara dimainkan cuba dijadikan senjata dalam menjaga takhta dan harta sesetengah golongan. Kita akui bagaimana licik dan bersungguhnya Kristian dalam menyebarkan agamanya di negara ini namun untuk memainkan isu yang berunsur fitnah itu bukan menyelesaikan masalah bahkan ia semakin teruk. Pemimpin sepatutnya lebih bersungguh dalam menangani masalah murtad dan kerosakan akhlak akibat hiburan dan cara hidup yahudi dan Kristian yang semakin subur dalam kehidupan seharian umat Islam bermula cara berpakaian, pergaulan bahkan pemikiran. Ini ditambah lagi dengan pengekalan perundangan penjajah dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Rakyat perlu sedar siapa yang bertanggungjawab dalam mengurangkan jumlah bilangan ahli parlimen yang beragama Islam, mahkamah syariah yang semakin dipertikaikan termasuk hukum qazaf yang sedia ada diketepikan, kedudukan mufti yang tidak berkuasa. Sepatutnya Islam yang diiktiraf oleh perlembagaan negara diperkasakan dengan memberi ruang kepada sistem Islam untuk dilaksanakan bukan semakin dimandulkan peranannya. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali 'Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ




Sent from my iPad

Taubat Sebelum Terlambat

Khutbah 6 may tmn Kosas.

 TEKS KHUTBAH JUMAAT hari ni

 "TAUBAT SEBELUM TERLAMBAT" 

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian, Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta hendaklah kita segera bertaubat kepada Allah s.w.t. Mudah- mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta diampuni segala dosa dan selamat di dunia dan di akhirat. Kaum muslimin yang berbahagia, Sesungguhnya kehidupan di dunia ini penuh dengan pelbagai ujian, cabaran dan dugaan sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan. Walaupun lazimnya nikmat kesenangan memberi kebahagiaan kepada kita semua, namun kadangkala nikmat kesenangan itu juga boleh menyebabkan manusia lalai, leka dan lupa diri sehingga terpedaya dengan permainan dunia khususnya kemaksiatan dan kemungkaran sehingga menyebabkan mereka melakukan dosa dan kesalahan serta perkara-perkara yang ditegah oleh syara' sama ada secara sengaja atau tidak. Sebagaimana disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-An'aam ayat 32: 

وما الحياة الدنيا الا لعبٌ ولهوٌ وللدار الاخرةُ خيرٌ للذين يتَّقون افلا تعقلون

Maksudnya: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia- sia dan hiburan yang melalaikan. Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" 

Sidang jumaat yang dimuliakan,

 Sememangnya tidak dinafikan bahawa manusia pastinya tidak mungkin terlepas dari berbuat kesalahan dan dosa serta bersifat pelupa tetapi Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Maha Adil terhadap setiap hamba-hamba-Nya telah mengurniakan peluang untuk mereka memperbaiki diri sendiri dan menyelamatkan diri dari terus sesat iaitu dengan segera bertaubat sebagai satu jalan keluar untuk menghapuskan dosa. Bahkan mereka turut dijanjikan dengan pelbagai ganjaran yang baik dan berlipat kali ganda. Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat bagi mereka yang melakukan dosa kerana kejahilan mereka. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 17: 

انما التوبة علي الله للذين يعملون السوءَ بجهالة ثُم يتوبون من قريب فاولئك يتوب عليهم وكان الله عليما حكيما

Maksudnya: "Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian (ketika mengetahui perkara itu dosa) mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) taubat mereka diterima Allah dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

 Jelaslah bahawa sifat orang-orang yang beriman itu apabila mereka melakukan kesalahan dan dosa, maka mereka bersegera mengingati Allah SWT dengan memohon keampunan daripada-Nya. Sebagaimana termaktub dalam firman Allah SWTdalam surah al-Imran ayat 135 : 

والذين  اذا فعلوا فاحشةً او ظلموا انفسهم ذكروا اللهَ فاستغفروا لذنوبهم  ومن يغفر الذنوب  الا الله  ولم يُصرُّ وا علي ما فعلوا  وهم يعلمون 

Maksudnya: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka bersegera mengingati Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." 
Sidang jumaat yang dimuliakan , 

Kalimah taubat dari segi bahasa bererti pulang atau kembali. Taubat kepada Allah SWT pula bererti kembali kepadaAllah SWT dan pulang ke pangkuan-Nya serta berada di ambang pintu-Nya. Bertaubat dari segala dosa yang dilakukan sama ada dosa kecil atau besar adalah wajib ke atas setiap orang muslim dan merupakan satu ibadah. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31: 

 وتوبوا الي الله جميعا ايه المؤمنون لعلكم تفلحون
Maksudnya: "dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 

Taubat merupakan proses pembersihan diri daripada segala bentuk dosa dan maksiat, menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan bermakna dan mengharap pengampunan daripada Allah SWT untuk menghampirkan diri kepada-Nya serta mendapat kasih dan rahmat daripada-Nya jua. Ia adalah satu- satunya jalan keluar bagi mereka yang kehilangan arah setelah tersesat kerana bergelomang dengan dosa dan maksiat serta harapan dalam mengembalikan kepercayaan dan kesedaran kepada diri sendiri betapa kasih, rahmat dan keampunan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya itu yang amat luas dan tidak terbatas. 
Rasulullah SAW sendiri bertaubat lebih tujuh puluh kali sehari sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis baginda SAW yang dirawayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: 

 Maksudnya: "Dari Abu Hurairah r.a katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah! Saya meminta ampun dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali."

 Bayangkanlah, jika Rasulullah SAW yang merupakan seorang kekasih Allah yang dimuliakan oleh-Nya dan bersifat maksum serta dijamin mendapat keampunan Allah SWT akan dosa-dosa baginda SAW yang terdahulu serta akan datang masih lagi bertaubat lebih dari tujuh puluh kali setiap hari, bagaimana pula kita sebagai hamba Allah yang tidak pernah terlepas dari berbuat salah dan silap?

Sidang jumaat yang dirahmati sekalian, 
Perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah istighfar sahaja tetapi hendaklah disertai dengan penyesalan, dengan niat dan azam tidak akan mengulangi perkara dosa yang pernah dilakukan. 

Taubat bukanlah perkara remeh kerana seseorang yang bertaubat tetapi masih terus melakukan perkara-perkara keji dan berbuat maksiat serta bermacam-macam lagi kemungkaran dianggap seolah- olah mempermainkan taubat itu sendiri. Tidak guna ibadah yang banyak sekalipun jika seseorang itu masih melakukan dosa seperti menipu rakyat, mengata, mengeji akan orang yang dikasihi Allah, memfitnah dengan fitnah keji seperti liwat dan video sek palsu dan pelbagai dosa-dosa yang lain kerana di akhirat kelak ia akan tergolong di kalangan mereka yang rugi. 
Para ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan bertaubat itu belum dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat-syarat berikut: 
Pertama : Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhan-Nya, hendaklah seseorang itu meninggalkan dosa dan maksiat dengan perbuatannya itu dan berazam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi. 
Kedua : Andai kata hak-hak bersangkut-paut dengan hak anak adam, maka hendaklah meninggalkan perbuatan dosa tersebut, menyesalinya, berazam tidak melakukannya lagi serta hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika seseorang itu menyakiti atau menganiaya seseorang yang lain seperti mencederakannya, menghina, mengumpat ataupun ia merampas harta benda mereka maka hendaklah ia memohon kemaafan daripada mereka serta mengembalikan hak yang telah diambil secara penganiayaan itu atau meminta agar dihalalkan oleh tuannya. 
Di samping itu, para ulama juga ada menjelaskan bahawa antara lain syarat taubat itu ialah dorongan bertaubat hendaklah semata-mata kerana Allah SWT atau kesedaran bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syarak serta semata-mata rasa takut kepada azab Allah di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga, bukan bertaubat kerana sesuatu dorongan yang bukan kerana keikhlasan. Umpamanya kerana takut jika tidak bertaubat, maka kemudaratan akan menimpa terhadap diri, kehormatan atau hartanya dan yang demikian tidak dinamakan taubat. Contohnya menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras, membuka aurat dan berzina dan sebagainya disebabkan takut membahayakan kesihatan tubuh badan, ini bukanlah dinamakan sebagai taubat. 
Begitu juga, menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka ia juga tidak dinamakan sebagai taubat. 

Kaum muslimin yang dikasihi sekalian, Taubat dalam erti kata yang sebenar-benarnya bertujuan semata-mata mengharapkan dua perkara daripada Allah SWT iaitu: di beri taufik bagi beribadat kepada Allah dan diterima amalan kita serta 
dihapuskan segala dosa-dosanya dan dikurniakan balasan syurga. 
Oleh itu, taubat yang dilakukan mestilah bertitik tolak daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah SWT semata-mata, ikhlas dan berusaha memenuhi segala syarat taubat. 
Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At-Tahriim ayat 8 : 

يايها الذين امنوا توبوا الي الله توبةً نصوحا عسي ربكم ان يكفّرَ عنكم سيئاتكم و يدخلَكم جنات تجري من تحتها الانهار 

Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan- kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…" 

Justeru, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk membersihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa iaitu pastinya dengan mengikut ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Antaranya dengan menghindarkan diri daripada maksiat, berkawan dengan rakan yang baik-baik, melawan pujukan syaitan dan hawa nafsu, sentiasa menyesali dosa-dosa silam, memperbanyakkan istighfar, melakukan amal soleh, berdoa dan sentiasa muhasabah diri. 

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 
Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka luas bagi seluruh hamba Allah yang ada di permukaan bumi ini dan hanya akan tertutup apabila roh sampai ke halkum iaitu di saat ia menghadapi kematian dan di kala itu manusia telah berputus asa terhadap hidup ini. Maka ketika itu taubat tidak lagi diterima, sebagaimana hadis Nabi SAW daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin Khattab r.a, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Bahawasanya Allah Azza Wa Jalla menerima taubat seseorang hamba selama rohnya masih belum sampai ke halkum (kerongkong)." (H. R Tarmizi) 

Adapun bagi seluruh manusia umumnya, 
pintu taubat akan ditutup apabila matahari terbit di sebelah barat di mana sepatutnya ia tenggelam dan keadaan ini menunjukkan bahawa kiamat sudah hampir terjadi. Oleh itu, 
sidang jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bersegera untuk bertaubat sebelum terlambat dan lakukanlah amal ibadat jika mahu selamat di dunia dan di akhirat. Setiap orang yang telah sedar dan insaf akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan hendaklah menyegerakan taubatnya tanpa bertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Jangan tunggu sehingga tiba waktu penyesalan sudah tidak berguna lagi. 
Firman Allah SWT surah al- Imran ayat 133:

وسارعوا الي مغفرة من ربكم وجنة عرضها السموات والارض اعدَّتْ للمتقين

Maksudnya: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." Dan janganlah pula sesekalipun kita merasa berputus asa dari rahmat Allah SWT untuk kita memohon keampunan dari-Nya sekalipun dosa yang dilakukan itu terlalu banyak kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat hamba- hamba-Nya. Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 53:

قل يا عباديَّ الذين اسرفوا علي انفسهم لا تقنطوا من رحمة الله  ان الله يغفر الذنوب جميعا  انه هو الغفور الرحيم 

Maksudnya: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. 
Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." 


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Sent from my iPad

Musibah

Khutbah Jumaat 7jan2011 di Masjid Fatimah Az Zahra.
Taman Kosas Ampang.
Jalan Kosas 2/2
68000‎ Ampang‎ Selangor
Malaysia


السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 155 – 157 surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan : إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ . Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk
Sudah waktunya seperti biasa Negara kita mengalami musim Banjir yang mana negeri sebelah utara seperti kedah sudah mengalami Banjir dan kini Negeri negeri di Pantai Timur pula sedang berada di musim tengkujuh di mana di sesetengah kawasan telah atau sedang menghadapi banjir sehingga ramai terpaksa berpindah dengan mengalami pelbagai kerugian dan kesulitan. Jadilah kita hamba Allah yang sentiasa mendapat pahala kebaikan dalam apa jua keadaan dengan bersyukur bila mendapat nikmat dan bersabar bila ditimpa musibah. Ujian yang datang samada sebagai peringatan atas kelalaian kita atau meningkat tahap keimanan kita yang diiringi dengan balasan pahala serta keampunan dosa bagi sesiapa yang mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh agama bukannya menjadi manusia derhaka yang menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Oleh itu bagi kita yang tidak ditimpa musibah seumpama banjir maka hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan kita dengan sama-sama merebut
kelebihannya sebagaimana galakan nabi melalui banyak hadis antaranya :
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)
Maksudnya : "Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar, Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga, Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeteri kemas bekasnya."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Ketika merenungi pelbagai ujian dan musibah yang datang seperti banjir besar, rebut salji, gunung berapi, tanah runtuh, tsunami, ribut taufan dan pelbagai lagi peristiwa dahsyat maka ini semua mengingatkan kita betapa tua dan uzurnya bumi yang sepastinya terlalu hampir kepada saat kehancuran. Malah bermacam macam pula peekara pelik yang berlaku yang mana antara perkara pelik yang berlaku seperti di Amerika Syarikat yang turut memeningkan para ahli saintis apabila hampir 5,000 ekor burung hitam mati apabila jatuh dari langit seminggu selepas lebih 100,000 ikan ditemui mati di Sungai Arkansas. Di Britain pula sebanyak 40,000 ekor ketam setan merah turut mati manakala di Brazil 100 tan ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama mati serta beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di New Zealand. Pelbagai andaian dibuat antaranya kesan letupan bunga api sambutan tahun baru, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas atau akibat penyakit. Malah isu
teori qiamat yang bakal berlaku pada tahun depan 2012 kembali bergema di mana Idea perlanggaran planet Nibiru dikemukakan sejak 1535 oleh seorang ahli falsafah Perancis, Notramadus. Idea asalnya peristiwa ini akan berlaku pada 2003, namun tertunda hingga ke 2012. Kiraan ini dibuat berdasarkan kiraan kalendar kaum Mayan dari Amerika Tengah. Tarikh kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012, oleh itu perlanggaran ini akan berlaku sebelum tarikh akhir kalendar ini. Namun dakwaan planet Nibiru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012 adalah tidak benar. Bahkan kewujudan Nibiru itu sendiri masih diragui. Ia telah dijawab termasuk dalam Dewan Negara beberapa bulan lepas. Malah tarikh tersebut didedahkan oleh setengah pengkaji bukan tarikh qiamat sebaliknya tarikh untuk yahudi berpakat dengan musuh Islam lain dalam menghancurkan seluruh umat Islam. Oleh itu kita yang berpegang kepada aal-Quran dan Sunnah mestilah yakin bahawa semua itu
adalah antara tanda-tanda bahawa bumi ini terlalu dekat dengan qiamat. Gunalah masa yang masih ada untuk memperbanyakkan lagi bekalan akhirat disamping bertaubat memohon keampunan sebelum nyawa berada dihujung halkum, sebelum matahari naik sebelah barat seperti mana peringatan yang datang dari Nabi Kita Saw yang bersabda :
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ"، فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ: "قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا". أخرجه أحمد ، والترمذي ، وابن حبان ، والحاكم
Maksudnya : "Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang sedangkan Malaikat Israfil telah meletakkan serunai sangkakala ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya." Maka keadaan itu menyebabkan para sahabat merasa terlalu bimbang maka sabda nabi kepada mereka ucapkanlah : "Cukuplah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Negara kita turut menghadapi pelbagai musibah termasuk jenayah yang banyak dan bebanan kos sara hidup yang terus meningkat. Ketika pelajar universiti yang masih muda diburu dengan hutang pengajian maka selepas ini rakyat bakal diburu dengan saman ekor yang kejam. Malaysia yang merupakan antara pengeluar minyak utama dunia tetapi kenaikan harga minyak diikuti harga barangan terus berlaku. Jika sebelum ini krisis kekurangan gula di pasaran berakhir dengan kenaikan harga gula maka kini negara menghadapi krisis minyak masak sedangkan Malaysia antara pengeluar utama minyak kelapa sawit akibat nafsu serakah pengeluar yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan sehingga rakyat biasa terpaksa berdepan dengan ketiadaan bekalan minyak masak. Jika pemimpin hanya bekerja untuk memenuhi kantung, peniaga pula hanya tahu cari untung maka rakyat di bawah hanya dapat melolong dan
terlopong. Siapakah yang salah maka hitunglah diri sendiri sebelum menyalahi orang lain. Ingatlah suatu amaran nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:
يَا مَعْشَرَ المُهَاجِرِيْنَ خَمْسٌ إِذَا ابْتَلَيْتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوْذُبِاللهِ أَنْ تُدْرِكُوْهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوْا ِبهَا إِلا فَشَا فِيْهِمُ الطَّاعُوْنُ وَالأوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ ِفى أَسْلافِهِمُ الَّذِيْنَ مَضُوْا, وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ
لَمْ يُمْطَرُوْا, وَلَمْ يَنْقُضُوْا عَهْدَ اللهِ وَعَهْدَ رَسُوْلِ اللهِ إِلا سَلَّطَ اللهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوْا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيْهِمْ, وَمَالَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللهِ وَيَتَخَيَّرُوْا ِمماَّ أَنْزَلَ اللهُ إِلا جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah:
[1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain.
[2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
[3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T.
[4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
[5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.
Sempena berada di tahun baru maka berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam melaksanakan arahan Allah dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin bertaqwa agar mendapat negara berkat.
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Sent from my iPad